Ilmu Hub › Perancangan Harta
Perancangan Harta
Lima instrumen utama untuk merancang harta semasa hayat — kenal beza setiap satu, supaya anda pilih yang paling sesuai dengan hasrat dan situasi keluarga anda.
Wasiat Pentadbiran (Wisoyyah)
Berbeza daripada Wasiat 1/3 yang menentukan pembahagian harta, Wasiat Pentadbiran (turut dikenali sebagai Wisoyyah) adalah dokumen pelantikan wasi — individu yang dipercayai untuk mentadbir harta dan menjaga kebajikan anak-anak selepas kematian anda.
Ini amat penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak bawah umur atau anak istimewa (OKU) — tanpa dokumen ini, mahkamah yang akan menentukan siapa penjaga sah anak-anak dan harta mereka, satu proses yang boleh mengambil masa dan tidak semestinya mengikut hasrat anda.
Anda ada anak bawah umur atau anak istimewa, dan nak pastikan ada individu dipercayai mentadbir harta serta menjaga kebajikan mereka selepas anda tiada.
Wasiat 1/3
Wasiat ialah pesanan pembahagian harta yang dilaksanakan selepas kematian. Dalam hukum faraid, wasiat dihadkan kepada tidak lebih 1/3 daripada keseluruhan harta, dan pada asasnya tidak boleh diberikan kepada waris faraid — melainkan waris-waris lain bersetuju selepas kematian.
Wasiat biasanya digunakan untuk salurkan harta kepada bukan waris — contohnya anak angkat, adik-beradik yang terdinding oleh waris lebih hampir, badan kebajikan, atau institusi. Ia juga boleh mengandungi pesanan lain seperti cara pengurusan jenazah atau arahan khas yang anda mahu ditunaikan.
Anda nak salurkan sebahagian harta (dalam had 1/3) kepada bukan waris — contoh anak angkat, badan kebajikan, atau institusi — selepas anda tiada.
Hibah
Hibah ialah pemberian harta semasa hayat pemberi — berbeza sepenuhnya dengan wasiat. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, termasuk waris faraid sendiri, dan kuat kuasa serta-merta selepas akad dan qabd (penyerahan) selesai dilaksanakan.
Sebab kuat kuasanya serta-merta, hibah sering digunakan untuk pastikan harta tertentu — rumah, kenderaan, akaun simpanan, saham — sampai terus kepada penerima yang anda pilih, tanpa perlu tunggu proses pusaka yang panjang selepas kematian.
Anda nak pastikan harta tertentu sampai terus kepada penerima pilihan anda semasa hayat, tanpa perlu tunggu proses pusaka selepas kematian.
Amanah
Amanah (trust) melibatkan penyerahan harta kepada pihak yang dipercayai — pemegang amanah — untuk diuruskan bagi faedah penerima yang anda tetapkan. Beza besar dengan hibah biasa: harta tidak terus diserahkan sepenuhnya kepada penerima, tetapi dikawal mengikut syarat dan tempoh yang anda tentukan.
Struktur ini amat sesuai untuk situasi di mana penerima belum bersedia menguruskan harta sendiri — contohnya anak kecil, golongan OKU, atau penerima yang anda mahu terima manfaat secara berperingkat/berterusan, bukan sekaligus.
Anda nak kawal macam mana dan bila harta digunakan oleh penerima — bukan sekadar serah terus, terutamanya untuk penerima yang belum bersedia menguruskan harta besar sendiri.
Waqaf
Waqaf ialah penyerahan harta atau manfaatnya untuk kegunaan kekal demi kebajikan ummah — bukan untuk waris atau individu tertentu, tetapi faedah berterusan untuk orang ramai. Ia digelar sedekah jariah kerana pahalanya terus mengalir selagi manfaat harta itu berterusan, walaupun pewaqaf telah tiada.
Contoh mudah: tanah yang diwaqafkan untuk masjid, sekolah, atau rumah anak yatim — hartanya kekal, tapi manfaatnya dinikmati orang ramai secara berterusan.
Anda nak tinggalkan legasi yang faedahnya berterusan untuk ummah — bukan untuk waris tertentu, tapi manfaat jangka panjang untuk orang ramai.
Tak pasti instrumen mana sesuai untuk anda?
Setiap keluarga dan hasrat berbeza — kadang perlu gabungan lebih daripada satu instrumen. Wasap saya, sesi konsultasi awal percuma.