Ilmu Hub › Pengurusan Pusaka & Faraid
Pengurusan Pusaka & Faraid
Panduan asas faraid — dari pengenalan sampai proses pentadbiran harta pusaka, disusun ikut turutan supaya senang diikuti dari awal, walaupun anda baru pertama kali mendalami topik ini.
Pengenalan Faraid
Faraid ialah ilmu pembahagian harta pusaka — gabungan antara hukum syarak dan pengiraan, yang menentukan siapa berhak menerima harta si mati dan berapa kadar bahagian masing-masing. Sumbernya terus daripada Al-Quran, hadis, dan ijma' ulama, menjadikan ia salah satu cabang fiqh yang paling terperinci hukumnya.
Ramai anggap ilmu faraid ini "urusan lepas mati", jadi tak perlu difahami semasa hidup. Realitinya sebaliknya — memahami faraid semasa hayat membolehkan anda merancang dengan tepat: kenal pasti siapa waris sah anda, elak salah faham dalam keluarga, dan buat keputusan (macam hibah atau wasiat) berdasarkan gambaran sebenar, bukan andaian.
Sebelum sebarang pembahagian dibuat, beberapa keutamaan perlu diselesaikan dulu: kenal pasti waris yang layak, asingkan harta pusaka daripada harta bukan pusaka, selesaikan kos pengurusan jenazah, jelaskan hutang si mati (dengan Allah dan manusia), selesaikan tuntutan harta sepencarian jika berkenaan, dan laksanakan wasiat sekiranya ada.
Rukun & Syarat Pusaka
Pembahagian pusaka mengikut faraid berdiri atas tiga rukun asas:
- Si mati — orang yang meninggal dunia dan hartanya diwarisi. Kematian ini boleh sama ada kematian hakiki (jelas dan tidak dipertikaikan) atau kematian hukmi (dihukumkan mati oleh mahkamah melalui anggapan kematian).
- Waris — individu yang berhak menerima pusaka atas sebab perkahwinan yang sah, pertalian darah (keturunan), atau pembebasan hamba.
- Harta — segala yang menjadi milik si mati semasa hayatnya dan ditinggalkan untuk waris, termasuk hak-hak lain yang sah miliknya.
Bukan semua yang ditinggalkan si mati tergolong sebagai harta pusaka. Contoh yang termasuk harta pusaka: harta yang diperoleh secara halal, hutang yang belum dijelaskan kepada si mati, simpanan KWSP (berpenama atau tidak), dan penama takaful. Contoh yang tidak termasuk: harta yang telah dijual, diwakafkan, dihibahkan atau dipegang amanah sebelum kematian, khairat kematian, pampasan, pencen terbitan, dan bayaran PERKESO.
Waris-Waris
Waris yang berhak mewarisi terbahagi kepada waris lelaki dan waris perempuan. Jantina waris penting ditentukan kerana ia menentukan sama ada seseorang itu mewarisi secara fardu (bahagian tetap) atau asobah (baki selebihnya).
Sekiranya si mati meninggalkan kesemua waris lelaki dan perempuan, hanya 5 waris utama yang berhak mewarisi:
- Suami / Isteri
- Bapa
- Ibu
- Anak Lelaki
- Anak Perempuan
Kelima-lima waris ini digelar waris utama kerana mereka paling hampir dengan si mati — dan kewujudan mereka (kecuali suami/isteri) akan mendindingkan waris-waris lain yang lebih jauh, seperti datuk, nenek, saudara-mara, dan anak saudara.
Cara Pembahagian: Fardu & Asobah
Waris Fardu ialah waris yang bahagiannya telah ditetapkan kadar tertentu oleh syarak — enam kadar yang disebut dalam Al-Quran: 1/2, 1/3, 2/3, 1/4, 1/6, dan 1/8. Contohnya, isteri mendapat 1/4 bahagian sekiranya si mati tiada anak, tetapi berkurang kepada 1/8 sekiranya ada anak.
Waris Asobah pula tidak mendapat kadar tetap — mereka menerima baki selepas waris fardu diberi bahagian, atau menerima keseluruhan harta sekiranya tiada waris fardu lain. Secara umum, hampir semua waris lelaki mewarisi secara asobah (kecuali suami dan saudara lelaki seibu, yang mewarisi secara fardu).
Satu prinsip penting: sekiranya si mati meninggalkan waris lelaki dan perempuan yang sama darjat (contoh anak lelaki dan anak perempuan), mereka mewarisi bersama secara asobah — dengan bahagian lelaki dua kali ganda bahagian perempuan, berdasarkan firman Allah dalam Surah An-Nisa'.
Halangan Pusaka
Seseorang yang secara asasnya layak menjadi waris (atas sebab perkahwinan atau keturunan) boleh terhalang sepenuhnya daripada menerima pusaka atas tiga sebab berikut:
- Membunuh — ulama sepakat, seseorang yang membunuh si mati tidak berhak mewarisi hartanya, tidak kira apa motifnya.
- Murtad — keluar daripada agama Islam menghalang seseorang daripada mewarisi pusaka si mati yang beragama Islam.
- Berlainan agama — perbezaan agama antara si mati dan waris (Islam dengan bukan Islam) menghalang kedua-dua pihak daripada saling mewarisi.
Halangan ini terpakai walaupun waris tersebut termasuk dalam salah satu daripada 5 waris utama yang disebut tadi — status "waris utama" tidak mengatasi sebab-sebab halangan ini.
Pentadbiran Harta Pusaka
Selepas kematian, harta pusaka perlu ditadbir secara rasmi sebelum boleh dibahagikan kepada waris. Langkah-langkah umum yang terlibat:
- Melantik seorang pentadbir atau pihak yang diamanahkan untuk menguruskan harta pusaka
- Mengenal pasti waris-waris yang berhak dan yang tidak berhak
- Mengenal pasti harta-harta yang ditinggalkan dan menentukan status pusaka/bukan pusaka
- Menyelesaikan kos pengurusan jenazah dan hutang si mati
- Memohon Perintah Faraid di Mahkamah Syariah bagi penentuan waris yang sah
- Memohon pembahagian pusaka melalui badan berkuasa yang berkaitan, bergantung nilai dan jenis harta
Badan yang mentadbir pembahagian bergantung kepada nilai dan jenis harta: Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk harta tak alih atau campuran bernilai RM5 juta ke bawah, Amanah Raya Berhad (ARB) untuk harta alih sahaja bernilai RM600,000 ke bawah, dan Mahkamah Tinggi Sivil untuk harta yang melebihi nilai-nilai tersebut.
Ada soalan tentang situasi keluarga anda?
Setiap keluarga ada susunan waris yang berbeza. Wasap saya, sesi konsultasi awal percuma untuk kenal pasti situasi faraid anda sendiri.