“Kadangkala, persoalan sebenar bukan siapa yang lambat. Persoalan sebenar ialah sama ada kita benar-benar memahami apa yang sedang berlaku.”
Saya berhenti scroll.
Minggu lalu, ketika membaca Threads, perhatian saya tertarik kepada satu perkongsian seorang waris yang sedang menguruskan pusaka arwah ibunya.
Nada penulisannya penuh dengan rasa kecewa.
Urusan yang disangkakan mudah rupa-rupanya mengambil masa yang panjang.
Beliau menceritakan bagaimana perlu membuat susulan berkali-kali, menghubungi pelbagai pihak dan menunggu perkembangan yang dirasakan terlalu perlahan.
Seperti biasa, ruangan komen mula dipenuhi pelbagai reaksi.
Ada yang bersimpati. Ada yang marah. Ada yang berkongsi pengalaman hampir sama.
Dan ada juga yang terus membuat kesimpulan.
“Sebab itu saya tak percaya…” “Patutlah ambil masa bertahun.” “Kalau saya, memang saya takkan guna…”
Saya membaca satu demi satu komen itu.
Tetapi saya tidak berhenti pada komen-komen tersebut. Saya berhenti pada satu ayat.
“Saya ingat…”
Entah mengapa, dua perkataan itu terasa begitu dekat. Bukan kerana saya pernah mengalami situasi yang sama.
Tetapi kerana sepanjang beberapa tahun membantu keluarga memahami urusan pewarisan harta, saya dapati hampir setiap konsultasi bermula dengan dua perkataan yang sama.
“Kami ingat…”
Kami ingat penama akan memiliki semuanya. Kami ingat rumah boleh terus dijual. Kami ingat duit dalam akaun bank boleh terus dikeluarkan. Kami ingat anak sulung boleh membuat semua keputusan. Kami ingat kalau keluarga sepakat, semuanya akan menjadi mudah. Kami ingat prosesnya hanya beberapa minggu.
Kami ingat… Kami ingat… Dan kami ingat…
Sehinggalah kematian benar-benar berlaku.
Ketika itulah sangkaan mula bertukar menjadi persoalan.
“Kenapa bank tak boleh keluarkan duit lagi?” “Kenapa rumah tak boleh terus dijual?” “Kenapa masih perlukan tandatangan semua waris?” “Kenapa perlu tunggu?” “Kenapa susah sangat?”
Saya tidak menyalahkan mereka.
Kerana majoriti masyarakat memang tidak pernah belajar tentang pengurusan pusaka.
Di sekolah kita belajar Matematik. Belajar Sejarah. Belajar Sains. Belajar Ekonomi. Jika ada pun, mungkin secara asas dalam Pendidikan sekolah agama negeri.
Tetapi hampir tiada siapa mengajar kita apa yang akan berlaku apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta.
Lalu kita membesar dengan andaian. Dan andaian itu biasanya hanya diuji apabila kita kehilangan orang yang kita sayang.
Masalahnya…
Ketika itu, orang yang paling mengetahui segala maklumat tentang hartanya sudah tiada lagi untuk membantu menjelaskan keadaan.
Sebagai seorang Perunding Pewarisan Harta Islam, saya memilih untuk melihat isu ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Saya tidak mengetahui keseluruhan fakta kes yang dikongsikan di Threads tersebut.
Saya tidak tahu jenis harta yang terlibat. Saya tidak tahu sama ada terdapat pertikaian dalam keluarga. Saya tidak tahu dokumen apa yang telah diserahkan. Saya tidak tahu sama ada kelewatan berlaku di pihak institusi, waris atau pihak ketiga.
Jadi, saya tidak mahu terburu-buru menyebelahi mana-mana pihak.
Kerana dalam pengurusan pusaka, apa yang kita nampak di permukaan selalunya hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan cerita.
Tetapi hantaran itu mengingatkan saya kepada satu persoalan yang jauh lebih besar.
Betulkah Amanah Raya lambat? Atau sebenarnya… kita kurang memahami bagaimana pengurusan pusaka benar-benar berfungsi?
Saya sering menggunakan satu analogi ketika sesi konsultasi. Bayangkan seseorang menghadiahkan kepada anda sebuah kotak puzzle yang mempunyai seribu keping.
Tetapi… Tiada gambar pada kotaknya. Beberapa keping hilang. Sebahagian lagi berada di rumah saudara. Ada yang tertinggal di pejabat. Ada yang masih berada di bank. Ada yang disimpan oleh peguam. Ada yang langsung tidak diketahui kewujudannya.
Kemudian seseorang meminta anda menyiapkan puzzle itu. Boleh?
Mungkin boleh. Tetapi tentu mengambil masa.
Dan setiap kali anda menemui satu keping yang hilang, barulah gambar keseluruhannya menjadi semakin jelas.
Begitulah saya melihat pengurusan pusaka. Ramai membayangkan tugas pentadbir hanyalah membahagikan harta.
Hakikatnya, sebelum sampai kepada proses pembahagian, ada satu proses yang jauh lebih besar.
Pentadbir perlu mengenal pasti apa sebenarnya yang ditinggalkan.
Adakah hanya sebuah rumah? Atau ada akaun bank yang keluarga tidak tahu? Adakah masih ada pinjaman? Adakah terdapat pelaburan? Adakah ada saham? Adakah terdapat hibah yang pernah dibuat? Adakah ada hutang? Adakah semua waris masih hidup? Adakah terdapat waris bawah umur? Adakah aset itu milik penuh? Atau milik bersama?
Setiap jawapan akan membuka satu lagi persoalan baharu.
Dan setiap persoalan itu memerlukan semakan, dokumen atau tindakan yang berbeza.
Mungkin sebab itulah saya tidak begitu gemar menggunakan perkataan “mudah” apabila bercakap tentang pusaka.
Kerana saya tahu…
Apa yang kelihatan mudah dari luar tidak semestinya mudah untuk diselesaikan di belakang tabir.
Saya selalu bertanya kepada prospek satu soalan yang sangat ringkas.
“Kalau tuan meninggal dunia malam ini, adakah isteri atau anak-anak tahu semua harta yang tuan miliki?”
Kebanyakan orang akan tersenyum. Kemudian diam.
Saya sambung lagi.
“Kalau mereka membuka almari fail tuan…” “Adakah mereka tahu fail yang mana satu berkaitan rumah?” “Yang mana satu berkaitan takaful?” “Yang mana satu berkaitan pelaburan?” “Yang mana satu berkaitan hutang?”
Selalunya jawapan kedua lebih panjang daripada jawapan pertama.
Kerana mereka mula sedar… Sebenarnya bukan waris yang tidak pandai. Tetapi kita tidak pernah menyediakan peta untuk mereka.
Lalu saya bertanya lagi.
Adakah benar proses pengurusan pusaka itu terlalu rumit… …atau kita selama ini terlalu banyak bergantung kepada sangkaan?
Saya percaya, inilah titik permulaan yang perlu kita fahami sebelum kita bercakap tentang siapa yang lambat dan siapa yang salah.
Kerana kadangkala…
Masalah sebenar bukan bermula selepas kematian. Masalah sebenar sudah lama bermula ketika kita masih hidup.
Mengapa Pengurusan Pusaka Mengambil Masa?
Ramai orang menyangka persoalan utama dalam pengurusan pusaka ialah:
“Berapa lama proses ini akan siap?”
Saya pula selalu melihatnya dari sudut yang sedikit berbeza. Saya lebih suka bertanya,
“Apakah sebenarnya yang perlu disiapkan?”
Kerana apabila kita memahami apa yang sedang dilakukan, kita akan lebih memahami mengapa sesuatu proses itu memerlukan masa.
Pengurusan Pusaka Bukan Sekadar Membahagikan Harta
Inilah salah faham pertama yang paling kerap saya temui.
Hakikatnya, pembahagian harta bukan permulaan proses. Ia adalah antara proses yang terakhir.
Sebelum sampai ke peringkat itu, banyak perkara perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
Saya selalu mengumpamakannya seperti seorang doktor. Apabila pesakit datang ke hospital, doktor tidak terus memberikan ubat.
Doktor akan bertanya. Membuat pemeriksaan. Melihat keputusan ujian. Memastikan diagnosisnya betul. Barulah rawatan diberikan.
Begitu juga dengan pengurusan pusaka.
Pentadbir tidak boleh terus “membahagikan” harta hanya kerana keluarga mengatakan,
“Ini semua harta arwah.”
Pentadbir perlu memastikan…
Benarkah itu semua harta? Adakah masih ada aset lain? Adakah ada hutang? Adakah semua waris telah dikenal pasti? Adakah semua dokumen lengkap? Adakah terdapat wasiat? Adakah terdapat hibah? Adakah aset tersebut benar-benar masih atas nama si mati?
Setiap jawapan itu akan menentukan langkah seterusnya.
Salah Faham Pertama: “Arwah Tak Banyak Harta Pun…”
Ayat ini saya selalu dengar. Dan setiap kali mendengarnya, saya akan bertanya semula.
“Macam mana tuan tahu?”
Selalunya jawapan yang saya terima ialah,
“Sebab kami hanya tahu rumah ini sahaja.”
Perhatikan perkataan yang digunakan.
“…kami hanya tahu…”
Bukan…
“…ini sahaja yang arwah miliki.”
Dua ayat itu nampak sama. Tetapi maknanya sangat berbeza.
Ada keluarga yang hanya mengetahui rumah. Kemudian selepas semakan dibuat, rupa-rupanya masih ada:
- akaun bank yang sudah lama tidak digunakan,
- simpanan ASB,
- saham,
- KWSP,
- Tabung Haji,
- koperasi,
- wang dalam e-wallet,
- pampasan takaful,
- malah ada juga tanah yang diwarisi daripada ibu bapanya sendiri tetapi belum pernah dituntut.
Bayangkan jika aset-aset ini tidak pernah dikenal pasti. Bagaimana ia hendak diagihkan?
Di sinilah saya selalu berhenti seketika ketika sesi konsultasi. Saya bertanya kepada prospek,
“Kalau tuan sendiri tidak menyenaraikan aset hari ini… bagaimana anak-anak hendak mencarinya nanti?”
Ramai terus diam. Kerana mereka sedar…
Mereka sendiri pun tidak pernah menyusun senarai harta mereka.
Puzzle Yang Tidak Lengkap
Mari kita kembali kepada analogi puzzle tadi. Bayangkan gambar puzzle itu ialah kehidupan seseorang. Setiap aset ialah satu keping puzzle.
Rumah. Kereta. ASB. KWSP. Akaun bank. Pelaburan. Emas. Saham. Perniagaan.
Jika satu keping hilang… Gambar masih boleh dilihat. Tetapi tidak lengkap.
Sekarang bayangkan sepuluh keping hilang. Dua puluh keping hilang. Lima puluh keping hilang.
Berapa lama masa diperlukan untuk mencari semua kepingan itu?
Itulah yang sedang dilakukan oleh pentadbir. Mereka bukan sedang “melambatkan” proses. Mereka sedang mencari kepingan puzzle yang belum ditemui.
Salah Faham Kedua: “Semua Dokumen Dah Bagi.”
Ini juga ayat yang selalu saya dengar. Tetapi saya akan bertanya semula.
“Semua dokumen yang tuan ada…” atau “Semua dokumen yang diperlukan?”
Kedua-duanya tidak semestinya sama. Sebagai contoh.
Keluarga mungkin sudah menyerahkan:
- sijil kematian,
- kad pengenalan,
- geran rumah.
Tetapi selepas semakan dibuat… Masih diperlukan:
- carian rasmi,
- dokumen pinjaman,
- maklumat waris yang telah meninggal dunia,
- sijil kelahiran,
- sijil nikah,
- dokumen syarikat,
- penyata pelaburan,
- atau dokumen lain yang berkaitan.
Bukan kerana institusi sengaja meminta dokumen sedikit demi sedikit. Tetapi kerana setiap dokumen baharu membuka satu lagi maklumat yang sebelum ini belum diketahui.
Bayangkan kita mahu menjual rumah.
Ejen meminta salinan geran. Kemudian peguam meminta salinan kad pengenalan. Bank pula meminta penyata pinjaman.
Adakah kita akan berkata, > “Kenapa semua orang minta dokumen?” Tidak.
Kerana kita faham setiap pihak mempunyai tugas yang berbeza. Begitu juga dalam pengurusan pusaka.
Setiap dokumen bukan sekadar kertas. Ia ialah bukti.
Bukti siapa pemiliknya. Bukti siapa warisnya. Bukti siapa yang berhak.
Salah Faham Ketiga: “Kami Semua Dah Sepakat.”
Saya gembira apabila mendengar keluarga berkata begitu. Tetapi saya akan bertanya lagi.
“Sepakat tentang apa?”
Kerana “sepakat” juga mempunyai banyak maksud.
Sepakat hendak menjual rumah. Sepakat hendak simpan rumah. Sepakat hendak bahagi mengikut faraid. Sepakat hendak melepaskan hak. Sepakat hendak memberi kepada ibu.
Semua itu ialah bentuk persetujuan yang berbeza.
Kadangkala keluarga memang sepakat. Tetapi masih terdapat proses pentadbiran yang perlu dipatuhi sebelum keputusan itu boleh dilaksanakan.
Di sinilah ramai mula berasa, > “Bukankah kami semua sudah setuju?”
Ya. Tetapi persetujuan keluarga bukan satu-satunya perkara yang perlu dipastikan.
Masih ada aspek undang-undang, dokumentasi dan pentadbiran yang perlu diselesaikan.
Saya selalu mengingatkan diri sendiri. Dalam kehidupan seharian pun…
Kita tidak boleh menjual rumah jiran hanya kerana semua jiran bersetuju.
Ada proses. Ada pemilikan. Ada dokumen. Ada prosedur.
Mengapa apabila melibatkan pusaka… Kita menganggap semuanya boleh diselesaikan hanya dengan kata sepakat?
Salah Faham Keempat: “Rumah Itu Kan Rumah Mak.”
Ini antara ayat yang paling menyentuh hati saya. Kerana biasanya ayat ini datang daripada kasih sayang.
Tetapi kasih sayang sahaja tidak mengubah status pemilikan. Rumah itu mungkin rumah mak.
Tetapi selepas kematian… Rumah itu menjadi sebahagian daripada harta pusaka.
Dan harta pusaka mempunyai proses pentadbirannya sendiri.
Ramai keluarga hanya menyedari perkara ini apabila mereka mahu menjual rumah tersebut.
Barulah mereka mengetahui… Tidak semudah yang mereka sangkakan.
Semakin lama saya menjadi Perunding Pewarisan Harta Islam…
Semakin saya sedar bahawa masyarakat Malaysia sebenarnya bukan malas merancang.
Mereka cuma tidak pernah didedahkan kepada keseluruhan gambar. Mereka hanya melihat bahagian akhirnya. Iaitu pembahagian harta.
Sedangkan sebelum sampai ke situ… Ada begitu banyak kepingan puzzle yang perlu disusun satu demi satu.
Dan apabila kita memahami prosesnya… Kita bukan sahaja menjadi lebih sabar. Kita juga akan mula bertanya kepada diri sendiri…
“Apa yang boleh aku lakukan hari ini supaya waris aku tidak perlu melalui kesukaran yang sama?”
8 Faktor Yang Sebenarnya Menjadikan Pengurusan Pusaka Mengambil Masa
Kalau ditanya kepada saya,
“Apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu kes pusaka mengambil masa?”
Jawapan saya hampir tidak pernah bermula dengan nama sesuatu institusi.
Sebaliknya saya akan bertanya semula,
“Boleh saya tahu sedikit tentang keluarga arwah?”
Kerana setiap keluarga mempunyai cerita yang berbeza. Dan setiap cerita akan membentuk tahap kerumitan yang berbeza. Ada kes yang selesai dengan agak lancar. Ada yang mengambil masa lebih lama. Ada pula yang akhirnya terhenti bertahun-tahun.
Bukan kerana satu faktor. Tetapi kerana beberapa faktor berlaku serentak.
Mari kita lihat satu persatu
1. Waris Tidak Benar-Benar Tahu Apa Yang Dimiliki Oleh Si Mati
Saya selalu bergurau ketika sesi konsultasi.
“Kalau saya tanya sekarang… berapa akaun bank yang encik ada?”
Ramai akan terus menjawab. Tetapi bila saya tanya pula,
“Isteri encik tahu semua?”
Suasana terus berubah. Ramai tersenyum. Ada yang terus menggeleng.
Hakikatnya… Bukan semua pasangan mengetahui keseluruhan aset suami atau isteri. Bukan kerana mahu berahsia. Tetapi kerana kita sentiasa merasakan…
“Nanti bolehlah cerita.” “Nanti bolehlah susun.” “Nanti bolehlah tunjuk.”
Malangnya…
“Nanti” tidak pernah menjanjikan peluang.
Apabila berlaku kematian mengejut, waris hanya mampu mencari berdasarkan apa yang mereka tahu.
Sedangkan aset yang tidak diketahui tidak boleh dituntut begitu sahaja.
Saya selalu terfikir… Kalau saya sendiri tidak pernah menyusun senarai aset saya…
Mengapa saya mengharapkan anak-anak mampu menyusunnya selepas saya tiada?
2. Dokumen Tidak Pernah Disusun
Ada orang sangat rajin menyimpan dokumen. Masalahnya… Dia seorang sahaja yang tahu lokasi semuanya.
Fail rumah di bilik tidur. Fail ASB dalam almari. Geran kereta dalam laci. Sijil takaful dalam kotak. Password dalam telefon. Telefon pula dikunci.
Akhirnya…
Dokumen sebenarnya wujud. Tetapi seolah-olah hilang.
Saya pernah berjumpa keluarga yang mengambil masa beberapa bulan hanya untuk mencari satu dokumen penting. Bukan kerana dokumen itu tiada. Tetapi kerana tiada siapa tahu di mana ia disimpan.
Saya selalu berkata kepada prospek.
Dokumen yang tersusun bukan memudahkan kita.
Ia memudahkan orang yang kita tinggalkan.
3. Hutang Yang Tidak Pernah Diceritakan
Ramai suka bercerita tentang aset. Jarang orang suka bercerita tentang hutang.
Sedangkan kedua-duanya sama penting.
Bayangkan seorang suami meninggalkan:
Rumah. Kereta. Pelaburan.
Tetapi keluarga tidak tahu masih ada pembiayaan perniagaan.
Pinjaman peribadi. Atau hutang dengan ahli keluarga sendiri.
Keadaan ini bukan sahaja melambatkan proses. Ia juga boleh menimbulkan salah faham antara waris. Ada yang menyangka semua harta boleh terus dibahagikan.
Sedangkan masih ada tanggungan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Saya selalu bertanya.
“Kalau semua orang tahu apa yang kita miliki…”
“…adakah mereka juga tahu apa yang masih kita berhutang?”
4. Waris Tidak Dapat Dihubungi
Ini jauh lebih biasa daripada yang orang sangka.
Ada waris tinggal di Sabah. Ada di Sarawak. Ada di Singapura. Ada di Australia. Ada yang sudah lama tidak berhubung dengan keluarga. Ada yang langsung tidak diketahui alamatnya.
Saya pernah mendengar ayat seperti ini.
“Kami dah tak jumpa abang sejak 15 tahun.”
Atau…
“Kami tahu dia ada di luar negara… tapi tak tahu negara mana.”
Apabila perkara seperti ini berlaku…
Proses pentadbiran tidak boleh sekadar menganggap waris itu tidak wujud.
Hak seseorang sebagai waris tidak hilang hanya kerana hubungan kekeluargaan sudah lama renggang.
Hubungan keluarga yang jauh ketika kita hidup… Kadangkala menjadi cabaran yang jauh lebih besar selepas kematian,
5. Kematian Berlapis
Inilah antara keadaan yang paling kompleks. Bayangkan…
Ayah meninggal dunia. Pusakanya tidak pernah diurus.
Lima tahun kemudian… Ibu pula meninggal dunia.
Belum sempat kedua-dua pusaka itu selesai…
Seorang anak pula meninggal dunia.
Kini… Untuk menyelesaikan pusaka ayah…
Perlu pula mengenal pasti waris kepada anak yang telah meninggal dunia.
Satu kes. Boleh berkembang menjadi beberapa lapisan pusaka.
Semakin lama dibiarkan… Semakin ramai waris yang terlibat.
Semakin banyak dokumen yang diperlukan. Dan semakin rumit keseluruhan proses.
Ramai menyangka masa akan menyelesaikan masalah.
Dalam pengurusan pusaka… Kadangkala masa hanya menambah bilangan waris.
6. Pertikaian Dalam Keluarga
Ini bahagian yang paling menyedihkan.
Kerana harta sebenarnya tidak pernah memutuskan hubungan. Yang memutuskan hubungan ialah…
Perasaan tidak adil. Salah faham. Kurang komunikasi.
Ada keluarga bergaduh kerana rumah. Ada kerana tanah. Ada kerana kereta. Ada kerana barang kemas. Ada juga kerana perkara yang nilainya tidak seberapa.
Saya pernah terfikir…
Kalau arwah masih hidup dan melihat anak-anak bergaduh… Sudah tentu itulah perkara terakhir yang beliau inginkan.
Harta sepatutnya menjadi legasi kasih sayang. Bukan sebab hubungan persaudaraan terputus.
7. Tiada Seorang Pun Yang Mengambil Tanggungjawab
Ini juga selalu berlaku. Semua orang berkata.
“Nanti kita urus.”
Tetapi…
Siapa “kita”? Siapa yang menghubungi institusi? Siapa yang mengumpul dokumen? Siapa yang menyimpan rekod? Siapa yang membuat susulan?
Akhirnya…
Semua menyangka orang lain sedang mengurus. Sedangkan tiada siapa yang benar-benar memulakan.
Kadangkala…
Kelewatan bukan kerana prosesnya panjang. Tetapi kerana proses itu langsung belum bermula.
8. Pemilik Harta Tidak Pernah Membuat Persediaan
Inilah faktor yang paling besar. Dan inilah satu-satunya faktor yang masih boleh kita ubah hari ini.
Kita tidak boleh mengawal bila kita akan meninggal dunia. Tetapi kita masih boleh mengawal apa yang akan kita tinggalkan.
Adakah kita meninggalkan:
Fail yang tersusun? Senarai aset? Maklumat hutang? Dokumen yang lengkap? Maklumat waris?
Atau…
Kita meninggalkan keluarga dengan ayat…
“Cubalah cari.”
Semasa menulis artikel ini…
Saya tidak dapat berhenti memikirkan satu perkara. Mungkin…
Selama ini kita terlalu sibuk bertanya,
“Siapa yang lambat?”
Sedangkan soalan yang lebih penting ialah,
“Adakah aku sudah memudahkan kerja orang yang akan menguruskan pusaka aku nanti?”
Kerana hakikatnya… Kita mungkin tidak dapat mempercepatkan keseluruhan sistem.
Tetapi kita boleh mengurangkan perkara-perkara yang menyebabkan sistem itu menjadi lebih perlahan.
Dan itu… Bermula ketika kita masih hidup.
Saya percaya…
Majoriti keluarga di Malaysia sebenarnya bukan tidak sayangkan keluarga mereka.
Mereka cuma tidak pernah diberitahu bahawa menyediakan senarai aset, menyusun dokumen dan memahami asas pengurusan pusaka juga adalah sebahagian daripada kasih sayang.
Kasih sayang bukan hanya diukur melalui sebanyak mana harta yang kita tinggalkan.
Tetapi juga…
Sejauh mana kita memudahkan orang yang kita tinggalkan untuk menguruskannya.
Jadi… Apa Yang Kita Boleh Lakukan Hari Ini?
Kalau anda membaca sehingga ke bahagian ini, saya ingin mengucapkan terima kasih.
Kerana saya tahu…
Artikel ini bukan artikel yang pendek. Tetapi saya sengaja menulisnya sebegini.
Kerana saya tidak mahu kita hanya melihat tajuknya. Saya mahu kita memahami keseluruhan gambar.
Jadi… Betulkah Amanah Raya Lambat?
Inilah soalan yang membawa kita kepada artikel ini.
Dan inilah juga soalan yang paling sukar dijawab hanya dengan satu perkataan.
Kalau saya menjawab…
“Ya.”
Ia tidak adil.
Kalau saya menjawab…
“Tidak.”
Ia juga tidak adil.
Kerana saya tidak mengetahui setiap kes yang pernah dilalui oleh setiap keluarga.
Saya juga percaya, seperti mana-mana organisasi atau institusi, pasti ada ruang yang sentiasa boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.
Namun…
Selepas bertahun-tahun membantu keluarga menguruskan pewarisan harta, saya belajar satu perkara.
Tempoh sesuatu kes tidak pernah ditentukan oleh satu faktor sahaja.
Ia dipengaruhi oleh banyak perkara.
Dokumen. Bilangan waris. Jenis aset. Kerjasama keluarga. Maklumat yang tersedia. Proses undang-undang. Institusi yang terlibat.
Dan…
persediaan yang dibuat oleh si mati ketika masih hidup.
Sebab itulah saya lebih suka mengubah soalan tadi.
Daripada bertanya,
“Siapa yang lambat?”
kepada…
“Apa yang menyebabkan proses ini mengambil masa?”
Apabila kita mula bertanya soalan yang betul… Barulah kita mula menemui jawapan yang betul.
Daripada Menyalahkan…
Kepada Memahami
Saya selalu teringat satu situasi.
Apabila berlaku kesesakan jalan raya… Kita akan menyalahkan jalan. Menyalahkan lampu isyarat. Menyalahkan pemandu lain.
Tetapi apabila helikopter merakam keseluruhan lebuh raya… Barulah kita nampak puncanya.
Ada lori rosak. Ada kemalangan. Ada lorong ditutup. Ada hujan lebat.
Barulah kita faham. Rupa-rupanya…
Apa yang kita nampak dari dalam kereta hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan keadaan.
Begitu juga dalam pengurusan pusaka.
Sebagai waris… Kita hanya melihat apa yang berlaku kepada keluarga kita.
Tetapi pihak yang mentadbir sesuatu kes melihat keseluruhan proses. Dokumen yang perlu disemak. Institusi yang perlu dihubungi. Maklumat yang perlu disahkan. Hak semua waris yang perlu dipastikan.
Dan pelbagai perkara lain yang mungkin kita sendiri tidak nampak. Bukan untuk menyusahkan. Tetapi supaya hak setiap pihak benar-benar terpelihara.
Perkara Yang Paling Menyedarkan Saya
Semakin lama saya berada dalam bidang ini…
Semakin saya sedar bahawa kebanyakan masalah pusaka sebenarnya tidak bermula selepas kematian.
Ia bermula bertahun-tahun sebelum itu.
Ketika seseorang membeli rumah tanpa memaklumkan pasangan tentang dokumennya.
Ketika membuka akaun pelaburan tanpa meninggalkan rekod.
Ketika membuat pinjaman tetapi tidak berkongsi maklumat.
Ketika menyimpan semua dokumen di tempat yang hanya dirinya sahaja tahu.
Ketika menangguhkan perbincangan keluarga kerana merasakan…
“Belum sampai masanya.”
Hakikatnya…
Kematian tidak pernah bertanya sama ada kita sudah bersedia.
Saya sendiri pernah bertanya kepada diri saya.
Kalau saya meninggal dunia malam ini…
Adakah suami saya tahu semua aset yang saya ada? Adakah anak-anak saya tahu fail yang mana perlu dibuka dahulu? Adakah mereka tahu siapa yang perlu dihubungi? Adakah mereka tahu dokumen mana yang paling penting?
Jika jawapannya masih belum jelas… Mungkin saya juga masih mempunyai kerja yang perlu diselesaikan.
Dan saya percaya… Kita semua mempunyai kerja rumah yang sama.
Perancangan Harta Bukan Untuk Orang Kaya
Ini juga salah satu salah faham yang paling besar. Ramai berkata kepada saya,
“Saya tak banyak harta.”
Saya akan bertanya semula.
Ada rumah? Ada simpanan KWSP? Ada ASB? Ada Tabung Haji? Ada kereta? Ada motosikal? Ada akaun bank? Ada takaful? Ada gaji bulan ini?
Kalau jawapannya “ya” kepada salah satu sahaja… Maka sebenarnya anda sudah mempunyai harta. Mungkin nilainya tidak berjuta-juta. Tetapi ia tetap harta yang suatu hari nanti perlu diuruskan.
Saya selalu berkata…
Perancangan harta bukan tentang berapa banyak harta yang kita ada. Tetapi tentang berapa ramai orang yang akan kita tinggalkan.
Jangan Tunggu Semua Sempurna
Ramai mahu mula merancang apabila semuanya sudah lengkap.
Rumah kedua siap. Pelaburan bertambah. Perniagaan berkembang. Anak-anak besar. Hutang selesai.
Hakikatnya…
Perancangan harta bukan destinasi. Ia adalah proses.
Kita tidak perlu menunggu mempunyai sepuluh aset. Mulakan dengan satu.
Tidak perlu menunggu semua dokumen sempurna. Mulakan dengan menyusun apa yang ada.
Tidak perlu menunggu umur persaraan. Mulakan ketika masih sihat.
Kerana setiap langkah kecil yang dibuat hari ini akan menjadi langkah besar kepada waris kita pada masa hadapan.
Lima Langkah Yang Boleh Anda Mulakan Hari Ini
Saya percaya setiap orang boleh melakukan lima perkara ini tanpa mengeluarkan kos yang besar.
1. Senaraikan semua aset yang anda miliki.
Bukan sekadar rumah. Tetapi juga akaun bank, pelaburan, takaful, KWSP, ASB, Tabung Haji, saham, emas dan apa sahaja yang mempunyai nilai.
Jangan bergantung kepada ingatan. Tulis.
2. Senaraikan juga semua tanggungan dan hutang.
Hutang bank. Pinjaman keluarga. Komitmen yang masih berjalan.
Maklumat ini sama penting dengan senarai aset.
3. Susunkan dokumen.
Tidak perlu cantik. Tidak perlu mahal.
Yang penting… Orang lain tahu di mana hendak mencarinya.
4. Beritahu sekurang-kurangnya seorang yang dipercayai.
Tidak semestinya menceritakan semua nilai harta. Tetapi sekurang-kurangnya…
Ada seseorang yang tahu bagaimana hendak memulakan proses jika sesuatu berlaku kepada kita.
5. Dapatkan nasihat sebelum membuat keputusan.
Setiap keluarga mempunyai keadaan yang berbeza. Apa yang sesuai untuk saya mungkin tidak sesuai untuk anda.
Sebab itulah saya sentiasa menggalakkan sesi konsultasi terlebih dahulu sebelum memilih apa-apa instrumen perancangan harta.
Legasi Yang Sebenarnya
Apabila kita menyebut perkataan “legasi”…
Ramai membayangkan rumah besar. Tanah yang luas. Simpanan berjuta-juta.
Saya pula semakin lama semakin melihat legasi dengan cara yang berbeza.
Legasi bukan sekadar apa yang kita tinggalkan. Tetapi juga…
Bagaimana keadaan orang yang kita tinggalkan selepas kita tiada.
Kalau mereka masih boleh meneruskan kehidupan tanpa bergaduh. Kalau mereka tidak keliru mencari dokumen. Kalau mereka tidak saling menyalahkan. Kalau mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
Bukankah itu juga satu bentuk kekayaan?
Saya teringat semula kepada hantaran Threads yang membuatkan saya berhenti scroll pada hari itu.
Mungkin penulisnya benar-benar melalui pengalaman yang sukar. Dan saya mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.
Tetapi saya juga berharap…
Semoga kisah itu menjadi peringatan kepada kita semua. Bukan untuk mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Tetapi untuk bertanya kepada diri sendiri…
“Kalau aku pergi dahulu… adakah aku sedang memudahkan urusan mereka yang aku sayang?”
Kerana akhirnya…
Perancangan harta bukan tentang kematian.
Ia tentang kasih sayang yang masih terus menjaga keluarga kita walaupun kita sudah tiada.
Mari Mulakan Hari Ini
Jika anda masih belum pernah menyemak kedudukan harta, waris atau dokumen yang dimiliki, mungkin hari ini adalah masa yang sesuai untuk memulakannya.
Tidak semestinya terus membuat keputusan.
Kadangkala, langkah pertama hanyalah memahami keadaan sendiri.
Jika anda memerlukan seseorang untuk berbincang atau mendapatkan penerangan tentang pilihan-pilihan perancangan harta Islam seperti wasiat, hibah, amanah atau proses pengurusan pusaka, saya sedia membantu mengikut keperluan dan situasi keluarga anda.
📩 Hubungi saya untuk sesi konsultasi.
Kerana…
Merancang bukan bermaksud kita sedang menunggu kematian.
Merancang bermaksud kita sedang menjaga mereka yang akan meneruskan kehidupan selepas ketiadaan kita.
Nota Penulis: Perkongsian ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi penulis sebagai Perunding Pewarisan Harta Islam, untuk tujuan pendidikan. Untuk situasi keluarga anda sendiri, jemput berbincang terus dengan saya.